Soalan
APAKAH makanan terbaik bagi wanita yang belum hamil untuk menguatkan
rahim, memperbanyakkan telur matang, subur dan cepat hamil? Apakah pula
jenis makanan yang harus dielakkan oleh wanita yang belum hamil demi
menjaga kesuburan, telur dan rahim?
Saya juga ingin tahu mengenai makanan terbaik untuk ibu hamil dan
makanan yang harus dielakkan oleh mereka. Adakah sebarang vitamin untuk
ibu hamil bagi mendapatkan anak bijak dan sihat sejak dalam kandungan
lagi?
n Allia, Johor.
Jawapan
Pemakanan segar dan berkhasiat yang diambil berpandukan keperluan kalori serta mengikut piramid makanan adalah pilihan terbaik.
Istilah menguatkan rahim adalah tidak tepat atau pasti kerana rahim
terbentuk daripada tiga lapisan otot yang sememangnya kuat untuk
mengembang sepanjang kehamilan dan mengecut sewaktu kelahiran serta
kembali kepada saiz asal dalam waktu berpantang.Mungkin apa yang dimaksudkan adalah lapisan terdalam rahim yang
menyalurkan makanan kepada kandungan. Sewaktu kehamilan, lapisan
endometrium ini dinamakan desidua, namun kemudiannya bekalan makanan
janin bergantung kepada uri dan ibunya.
Begitu juga dengan persoalan
mengenai makanan yang membanyakkan telur matang. Wanita dilahirkan
dengan sejumlah telur yang tidak akan bertambah lagi bilangannya. Pada
setiap kitaran haid bagi wanita subur, hanya satu sahaja telur matang
manakala sekumpulan yang lain akan mengalah dan pupus. Keadaan ini
berlaku sehingga menopaus yang mana tiada lagi telur dikeluarkan.
Pengambilan ubat hormon kesuburan bertindak merangsang kumpulan telur
supaya lebih banyak yang matang, bergantung kepada jenis dan dos ubat
hormon berkenaan. Tanpa ubat hormon kesuburan, ramai wanita subur ini
hanya menghasilkan satu sahaja telur matang. Bagi wanita yang kurang
subur ovarinya pula, tiada telur matang dihasilkan dalam kitaran
terbabit.
Segelintir wanita yang tidak mengambil ubat kesuburan didapati hamil
kembar (tidak seiras), ia lebih banyak berlaku kepada wanita yang
berusia, tanpa mengira pemakanan mereka.
Amalan mengelakkan makanan tajam atau sejuk juga lebih
berdasarkan kepercayaan masyarakat, kesahihannya dari sudut perubatan
moden belum terbukti. Pada pendapat saya, tidak salah mengelakkan makanan terbabit sewaktu
kehamilan memandangkan ia bukan makanan ruji kita iaitu tidak menjadikan
kita kempunan atau kebuluran jika tidak mengambilnya.
Keperluan vitamin juga seharusnya mengikut kadar yang telah
digariskan. Bagi sesetengah vitamin (yang bersifat larut air),
pengambilannya yang berlebihan dianggap pembaziran kerana ia akan
dilupuskan menerusi air kencing atau najis.
Namun bagi sesetengah vitamin lain (yang bersifat larut lemak),
pengambilannya yang berlebihan boleh memudaratkan dan memberi kesan
negatif kepada sifat janin, contohnya vitamin A.
Saya percaya, amalan kesederhanaan perlu dititikberatkan dalam aspek
kehidupan kita termasuk dalam pengambilan makanan. Anak yang sihat dan
bijak tidak semestinya datang daripada formula makanan ibunya. Tidak
semua adik-beradik sesuatu keluarga (yang dikandung dan dibesarkan oleh
ibu yang sama) mempunyai tahap kepintaran yang sama.
Bersama profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain
Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi)
Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.
No comments:
Post a Comment