Pages

SHAKLEE

Wednesday, 5 March 2014

ROKOK PENYEBAB KANSER

GOLONGAN lelaki lebih mudah mengalami kanser peti suara disebabkan tabiat merokok.


SUARA merupakan satu bentuk komunikasi yang amat penting bagi manusia namun, nikmat ini kurang diberi perhatian melainkan setelah seseorang kehilangannya. Hilang suara boleh disebabkan oleh faktor sementara seperti jangkitan saluran pernafasan atas, bengkak peti suara akibat penggunaannya yang keterlaluan mahupun radang saraf larinks.
 
Kebiasaannya hilang suara dalam kes-kes sebegini akan pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari atau minggu tetapi kanser peti suara boleh menjadi punca seseorang hilang suara untuk sementara atau selama-lamanya.

Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad, peti suara adalah bahagian terpenting yang mengatur penghasilan bunyi atau suara. “Kontribusi udara dari dalam paru-paru sewaktu menghembus nafas akan menggetarkan peti suara lalu menghasilkan bunyi.
“Ia seterusnya akan melalui rongga mulut dan hidung yang dikenali sebagai artikulator untuk memodulasi bunyi yang dihasilkan kepada bahasa yang difahami. “Struktur peti suara terletak pada organ salur pernafasan yang dinamakan sebagai larinks. Larinks ialah bahagian tekak yang menyambungkan rongga mulut dan orofarinks di bahagian atas dengan trakea dan paru-paru di bahagian bawah,” ujarnya.

Tambahnya, larinks merupakan bahagian tersempit yang terdapat di sepanjang saluran pernafasan manusia. Dalam keadaan normal, ia boleh terbuka serta tertutup selain bergetar untuk mengawal udara yang keluar masuk ke paru-paru serta menghasilkan suara. “Dalam keadaan abnormal atau berpenyakit, suara mudah terganggu.Sama seperti organ badan yang lain, kanser boleh terjadi pada struktur peti suara. Kanser ialah suatu keadaan di mana sel-sel tumbuh tanpa kawalan dan dalam struktur larinks, peti suara (glotis) ialah struktur yang paling kerap menjadi kanser berbanding dengan struktur supraglotis (atas peti suara) dan subglotis (bawah peti suara),” jelasnya sambil memberitahu, jenis kanser yang paling kerap terjadi ialah karsinoma sel skuamus.
PETI suara merupakan bahagian terpenting yang mengatur penghasilan bunyi atau suara seseorang.


Beliau berkata, golongan lelaki lebih mudah mendapat penyakit ini disebabkan tabiat merokok yang tinggi berbanding wanita.

“Karsinogen iaitu bahan dalam asap rokok menjadi penyebab utama terjadinya kanser peti suara. Ini kerana asap rokok yang disedut akan melalui struktur peti suara sebelum sampai ke dalam paru-paru. Dengan meningkatnya jumlah wanita yang merokok, peratusan kanser peti suara yang dialami oleh golongan wanita juga dilihat makin bertambah."
 
“Selain itu, jangkitan saluran pernafasan oleh virus papiloma manusia, tabiat meminum alkohol, dan radiasi lampau untuk penyakit kanser lain turut menyumbang kepada risiko kanser peti suara ini,” katanya.

Irfan menjelaskan, tanda awal bagi kanser peti suara ditunjukkan melalui perubahan suara. Pada kebiasaannya pesakit akan mendapati suara mereka menjadi serak yang tidak kembali ke nada asal selepas beberapa minggu.
Perubahan suara selepas jangkitan kuman saluran pernafasan atas adalah perkara biasa namun jika ia tidak pulih selepas dua atau tiga minggu, perhatian perlu diberikan. Ini kerana peti suara juga mengawal gerakan udara keluar masuk ke dalam paru-paru.

“Kewujudan sebarang bentuk ketumbuhan akan menyempitkan peti suara manakala ruang udara keluar masuk semakin kecil. Malah, geseran permukaan peti suara yang mempunyai ketumbuhan akan mengakibatkan luka dan batuk berdarah.

“Pesakit juga akan berasa sukar untuk menelan makanan,” jelasnya sambil memberitahu, kanser tersebut boleh merebak ke kelenjar limfa di leher yang menyebabkan struktur tersebut menjadi bengkak. Kanser peti suara juga boleh merebak ke organ lain seperti paru-paru dan hati sekali gus menunjukkan kanser tersebut telah berada pada tahap yang teruk.
 
“Dari segi rawatan, peti suara akan diperiksa menggunakan endoskopi untuk melihat ke dalam larinks. Proses ini dikenali laringoskopi. Keadaan sebenar dapat dilihat dan direkodkan apabila pesakit melalui proses ini tetapi jika terdapat keraguan, sampel tisu diperlukan. Prosedur ini biasanya dilakukan dalam keadaan pesakit dibius. Selain pemeriksaan larinks dan biopsi sampel tisu, bahagian leher dan kepala serta bahagian badan yang lain turut diperiksa,” tambahnya.
 
Menurutnya, kanser peti suara dirawat dengan menggunakan kaedah radioterapi sekiranya ia berada pada peringkat awal kerana larinks dan peti suara masih dapat diselamatkan. Suara juga dapat dikekalkan selepas menjalani sesi terapi.

“Bagi kanser tahap tinggi, pembedahan tidak dapat dielakkan dan peti suara terpaksa dikeluarkan sama ada separuh atau semuanya bergantung kepada sejauh mana kanser itu menyerang. jika ini berlaku, pesakit akan diberi pilihan untuk membantu mereka bercakap setelah peti suara dibuang,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment