Pages

SHAKLEE

Friday, 28 February 2014

Tukar diet, cegah kanser

 Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my


BILA diimbas kembali zaman dahulu, jarang kita mendengar rakyat negara ini menghidap kanser atau meninggal dunia akibat penyakit itu.Namun, dibandingkan dengan sekarang, penyakit kanser dilihat seperti penyakit lazim. Pasti ada sekurang-kurangnya seorang yang rapat dengan kita menghidap kanser tidak kira rakan mahupun ahli keluarga. 

Mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser menyumbang sebanyak 13 peratus iaitu 7.4 juta daripada keseluruhan kematian di dunia pada 2008 dan dijangka akan terus meningkat iaitu anggaran 12 juta orang akan meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2030.

Kanser merupakan penyebab kematian keempat terbanyak yang berlaku di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara dan pada tahun 2011 ia menyumbang sebanyak 11.2 peratus daripada keseluruhan kematian yang berlaku.

Menurut statistik KKM, kanser paru-paru merupakan penyebab kematian kanser yang paling banyak bagi seluruh kematian akibat kanser yang berlaku di semua hospital KKM iaitu 17.5 peratus diikuti oleh kanser payudara (10.2 peratus) dan kolorektal (8.5 peratus) pada tahun 2011.Peluang untuk sembuh sebenarnya adalah tinggi sekiranya kanser dikesan pada peringkat awal dan mendapat rawatan segera. Malah, ujar Pakar Pemakanan, Pusat Perubatan Tropicana, Tan Yen Sing, kanser sebenarnya boleh dicegah pada peringkat lebih awal dengan mengamalkan diet antikanser.

"Kes kanser dilihat semakin meningkat dan selalunya dikaitkan dengan diet dan gaya hidup kita seperti kurangnya bersenam, banyak mengambil makanan berproses selain sebab genetik dan lain-lain. Secara amnya, diet antikanser ialah cara pemakanan yang sihat dan seimbang, banyak mengambil makanan bijirin penuh, sayur dan buah terutamanya kumpulan sayur cruciferous yang amat bagus untuk mencegah kanser. 
Sekarang semua orang mahukan sesuatu yang pantas sedangkan kesemua makanan segera amat tidak baik untuk kesihatan anda kerana mengandungi bahan tambahan yang bukan semula jadi. Secara tidak langsung, perlahan-lahan ia akan membina toksik di dalam sistem badan kita dan sel kanser gemar tumbuh di bahagian toksik," terangnya. 

Semasa rawatan
Jika pesakit sudah didiagnosis menghidap kanser, diet berbeza perlu dilakukan bagi menyediakan diri menghadapi rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi. 

"Pesakit perlu mengambil makanan yang berprotein dan kalori yang tinggi serta seimbang bagi mengelak kehilangan berat badan yang mendadak akibat rawatannya. Jika hilang berat badan yang banyak, ia tidak bagus untuk rawatan kemoterapi kerana badan akan menjadi amat lemah. Saya cadangkan mengambil lebih banyak daging putih seperti ikan, kurangkan daging merah dan pastikan semuanya dimasak betul-betul," terangnya. 

Bagi bekas pesakit kanser pula, jangan terus makan apa sahaja kerana berasa seolah-olah telah bebas daripada masalah. Tegasnya, mereka perlu memastikan pemakanan yang sihat dan seimbang supaya kanser tersebut untuk berulangnya berkurangan.

No comments:

Post a Comment